APAKAH PERUBAHAN IKLIM?

Pertumbuhan populasi manusia dan perindustrian yang pesat telah mengubah proses semulajadi perubahan iklim pada kadar berbahaya.

 

Emisi karbon dioksida (CO2), sejenis gas rumah hijau telah terbebas ke atmosfera pada kadar berbahaya dan memanaskan suhu Bumi dengan ketara.

 

Gaya hidup manusia yang tidak mampan dalam sistem ekonomi  yang mementingkan keuntungan peribadi korporasi korporasi gergasi, telah menyebabkan konsentrasi CO2 dalam atmosfera meningkat sebanyak 40% sejak revolusi perindustrian dan dijangka bertambah buruk dalam beberapa dekad akan datang.

 

Beberapa bulan lepas, konsentrasi CO2 di atmosfera telah melebihi 400 ppm, satu situasi yang tidak pernah di lihat dalam sejarah manusia moden.

DEKLARASI KAMY

"Perubahan Iklim bergerak lagi pantas dari kita - dan kita kesuntukan masa"

IMPAK KEPADA MALAYSIA

Kenaikan suhu 1°C ke atas akan membawa kepada pemanasan laut, pencairan glasier, kenaikan paras laut dan iklim yang melampau dan tidak menentu

Di Malaysia, kesan perubahan iklim yang mula dirasai dalam bentuk gelombang panas. Ini meningkatkan risiko kesihatan yang berkait dengan haba, polusi dan kematian. Kepanasan berterusan bakal menyaksikan kemusnahan biodiversiti seperti kematian terumbu karang yang merupakan ‘keystone’ habitat untuk hidupan marin, yang merupakan sumber makanan rakyat.

Di darat, kehilangan hutan dara, modifikasi sistem penggunaan tanah dan urbanisasi yang tidak mampan juga menaikkan lagi suhu lokal seperti yang dilihat di Borneo yang kehilangan 50% dari hutan daranya. Sumber bekalan air bersih juga bakal terjejas.

Pencairan glasier dan litupan ais adalah penyumbang utama kepada kenaikan paras laut, menyebabkan masyarakat di kawasan pesisiran laut berisiko dinaiki air. Kehilangan penempatan manusia dalam kawasan ini bukan sahaja akan membawa kepada kadar penghijrahan bandar yang lebih tinggi, tetapi ia juga akan meluaskan jurang sosio ekonomi bagi warga yang hidup dalam garis kemiskinan sama ada komuniti marginal, wanita atau kanak-kanak. Komuniti marginal adalah golongan paling berisiko tinggi dan paling terdedah terhadap ancaman perubahan iklim.

Musim kering yang berpanjangan juga boleh mengkompromi keselamatan makanan negara apabila tanaman makanan  
musnah disebabkan kepanasan ekstrem dan masalah irigasi. Sekiranya isu ini terus diambil ringan, bukan sahaja petani mengalami kehilangan mata pencarian, malah produktiviti ekonomi negara juga akan terjejas.

AMBIL 

TINDAKAN!

Kita mempunyai 11 tahun sebelum suhu bumi naik ke aras 1.5 °C, satu tahap bahaya yang menyaksikan kemusnahan alam semulajadi,  yang merupakan asas kepada ekonomi dan kehidupan manusia. Dan ancaman ini sudahpun bermula di Malaysia. Kita perlu tindakan segera & langsung!

 

Kemusnahan ekologi dan hidupan liar tidak boleh dibiarkan terabai oleh pihak yang tidak beretika dan korup. 

 

Kami menggesa semua pihak untuk menyedari betapa kritikalnya isu perubahan iklim dalam pergerakan sosio ekonomi dan politik negara. Bolehkah masa hadapan Malaysia bertahan jika kita terus berdiam diri? Generasi muda kita akan mewarisi legasi kemusnahan dan bakal menunding jari kepada kegagalan kita untuk bertindak. Malaysia berdepan dengan satu krisis eksistensial !

 

Apabila kerajaan gagal untuk menjamin perlindungan,  keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya dan masa depan negara, adalah menjadi hak dan tanggungjawab rakyat untuk bersuara ! 

 

KAMY menggesa semua pihak dari pelbagai latar belakang,  lapisan sektor dan masyarakat untuk mengambil bahagian dan tindakan untuk menggesa ahli politik negara supaya mengambil isu perubahan iklim sebagai satu KRISIS !

Kuala Lumpur, Malaysia [GMT+8]

(+6) 011 3331 1601

Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia (Klima Action Malaysia - KAMY) 

[PPM-006-10-13042020] 

Newsletter

  • YouTube - Black Circle

©2020 by Klima Action Malaysia (KAMY)