top of page
  • Writer's pictureAroe Ajoeni

The Role of Youth In Ecosystem Restoration In Malaysia - Panel discussion with APPGM-SDG

Updated: 30 Ogo 2021



Watch the full livestream on Facebook here


Apabila kita bercakap tentang pemulihan ekosistem, kita bukan sahaja bercakap tentang menanam semula pokok-pokok yang telah dibalak atau melestarikan semula kawasan hutan yang telah dimusnahkan. Kita juga perlu mengenalpasti akar umbi permasalahan yang menyebabkan pembalakan dan kemusnahan tersebut. Adakah kita komited untuk membanteras sistem eksploitatif yang ada hari ini?


Kerajaan & syarikat-syarikat besar masih lagi bergantung pada pemahaman yang lapuk, dimana keuntungan wang lebih penting berbanding alam sekitar dan kehidupan rakyat. Menurut saintis, kita hanya ada kurang dari 10 tahun untuk memulihkan Bumi sebelum iklim dunia (atau climate) dan kemusnahan biodiversitiy mencapai tahap yang kritikal.

Jika kita inginkan perubahan sebenar, kita perlu keluar dari corak pemikiran yang eksploitatif kepada pemikiran yang regeneratif. Kita perlu fikir semula, adakah "business as usual" di negara kita sekarang ini dapat menampung keperluan kita pada masa 50 tahun akan datang? atau mungkin semua sumber ini akan habis sebelum 50 tahun?


Penanaman pokok adalah satu langkah yang baik, tapi ini masih tidak cukup. Ladang monokultur bukanlah hutan. Kerajaan juga perlu berhenti meluluskan projek-projek yang merosakkan alam sekitar, seperti perlombongan, penambakan, dan pembinaan stesen janakuasa berasaskan bahan bakar fosil.


Pemulihan ekosistem juga berkait dengan sumber air dan makanan yang kita ada sekarang ini. Ekosistem yang tidak sihat akan memberi impak kepada kehidupan kita secara langsung, kita telah pelajari ini dari COVID. Maka para petani, nelayan, orang asli, orang asal, dan komuniti tempatan adalah frontliners kita dalam pemulihan dan penjagaan ekosistem. Ilmu mereka sangatlah berharga dan sangat diperlukan pada masa ini.

Ini sebabnya mengapa penting untuk melibatkan masyarakat sivil dan beli dalam restorasi alam sekitar.


Anak-anak muda pada masa ini menghadapi cabaran yang sangat banyak. Walaubagaimanapun, menurut pengalaman sejak pendemik ini bermula saya bekerjasama dengan komuniti grassroots di Malaysia dan belia dari pelbagai organisasi seluruh dunia , saya pelajari bahawa jika kami bertekad, kami mampu beradaptasi, dan memobilisasi dengan cara-cara yang kreatif, sama ada online atau offline.


Ketika permulaan dan pertengahan kempen untuk membantah penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat di Selangor, saya melihat sendiri belia menggunakan macam-macam cara berkempen. Bukan sahaja posting di social media, tetapi juga membuat toolkit media untuk digunakan orang ramai, buat protes online, saya sendiri dan kawan-kawan membuat video pendek, dan ramai membuat lukisan dan macam-macam bentuk seni untuk komunikasikan isu ini.


Saya rasa isu HSKLU ini adalah contoh yang jelas, dimana kita ada pilihan untuk pulihkan ekosistem untuk jangka panjang atau kita nyahwarta untuk keuntungan jangka pendek? Kerajaan negeri Selangor mengatakan bahawa 40% daripada Hutan Simpan Kuala Langat Utara telah pun merosot kualitinya, dan solusi yang mereka tawarkan adalah penyahwartaan untuk pembangunan bercampur. Jika hutan itu memang betul telah merosot, maka kita salurkanlah dana untuk perbaiki kualiti hutan tersebut dan restorasi.


Di Malaysia, belia melakukan banyak inisiatif untuk membina kapasiti. Masyarakat akar umbi (atau grassroots communities) secara aktif mengambil bahagian dalam pembuatan keputusan di peringkat city council sehingga ke peringkat pembuatan polisi. Mereka juga terlibat secara langsung dalam pemulihan ekosistem di sekitar komuniti masing-masing, seperti Friends Of Sungai Klang Taman Melawati River Three dan Shah Alam Community Forest.


Saya rasa aktivisme yang diterajui belia pada masa ini mengutamakan persimpangan atau intersectionality. Kita memahami bahawa sesuatu isu, tidak dapat hanya diselesaikan sendiri tapi memerlukan partisipasi yang menyeluruh dari masyarakat sivil dari pelbagai latar belakang. Dalam konteks perbincangan kita hari ini, pemulihan ekosistem tidak hanya disuarakan oleh aktivis alam sekitar atau consevationists sahaja, tetapi juga aktivis hak asasi manusia, aktivis wanita, gender, seniman, dan bahkan orang-orang yang kita fikir tiada kaitan pun dengan isu ini.


Ecosystem restoration di Malaysia perlu dilihat dari pelbagai sudut. Salah satu contohnya ialah bagaimana pemulihan ekosistem dapat memberi impak kepada wanita? Dan bagaimana wanita dapat menerajui bidang ini? Terutamanya wanita-wanita yang bergantung pada alam untuk sumber sehari-harian mereka, wanita orang asli.


Solusi krisis iklim bukan terletak pada teknologi-teknologi yang masih belum wujud, solusi perubahan iklim adalah alam dan hutan yang kita ada sekarang ini. DAN....restorasi ekosistem akan bantu kita untuk mengelak krisis iklim iaitu mengekalkan suhu global di bawah 2C.


Kini, krisis iklim telah pun meningkatkan kebarangkalian cuaca ekstrem dalam bentuk banjir yang tidak menentu, kemarau panjang, hujan monsun yang intens. Semua bencana ini (ditambah lagi dengan aktiviti manusia) adalah pemicu kemusnahan ekosistem, kepupusan habitat dan spesies, serta mengancam kesihatan manusia dan keselamatan makanan kita. Komuniti yang rentan adalah komuniti pertama yang terkana impak, seperti orang asli, petani-petani kecil, dan nelayan. Keadilan iklim menitik beratkan solusi yang adil dan saksama untuk semua pihak.


Untuk mengakhiri sesi saya hari ini, saya ingin jelaskan bahawa kita perlu berhati-hati dengan taktik greenwashing yang dilakukan korporat. Mereka selalu menawarkan penyelesaian palsu menggunakan buzzwords seperti "nature based solutions" atau "net zero" untuk mengelirukan dan menutup mulut kita.


Jika dikaji dengan lebih teliti, biasanya solusi yang mereka bentangkan bukan bermaksud mengurangkan operasi dan keuntungan mereka, malah sebaliknya. Mereka akan terus memusnahkan ekosistem secara besar-besaran, dan untuk mengimbangi kemusnahan tersebut mereka akan bayar pihak lain untuk jaga hutan yang sedia ada atau tanam semula pokok. sedangkan kita tahu bahawa hutan yang telah wujud selama beribu tahun merupakan sinki karbon dan juga tempat bergantung pelbagai komuniti yang tinggal di sekitarnya.


Sebanyak apa pun pokok yang kita tanam hari ini tidak dapat menggantikan kualiti hutan-hutan tersebut.


Solusi sebenar hanya datang dari rakyat bukan syarikat-syarikat besar yang hanya mementingkan keuntungan. Solusi kita terletak pada pengetahuan tradisional para petani, nelayan, orang asli, dan komuniti tempatan.


Kita adalah generasi terakhir yang akan mengubah nasib kita sendiri (mengikut tema tahun ini, iaitu Generasi Restorasi), 10 tahun akan datang ini sangat penting dan restorasi ini hanya dapat dilakukan bersama-sama.

bottom of page